Sunday, February 12, 2012

FIST OF DRAGON: Filem aksi naikkan martabat filem Malaysia






Sungguhpun kita dilambakkan dengan pelbagai filem-filem yang memenuhi panggung di negara kita, jarang sekali kita dapat melihat filem yang bermutu, terutama sekali yang dapat memasuki pasaran di luar negara dan berkualiti tinggi.
Sungguhpun filem ini mendapat kerjasama daripada kepakaran negara China dan Singapura, sebahagian besar babak penggambaran dan pengarahannya datangnya dari Malaysia.

Filem ini diarah oleh pengarah muda dari Malaysia, Michael Chuah. Beliau turut mengarah aksi ngeri di dalam filem ini dan pernah tercalon untuk kategori Pengarah Paling Berpotensi di Festival Filem Malaysia 2007.
Selain itu, Micahel juga pernah memenangi anugerah Filem Eksperimental Terbaik (perak) dan Filem Pendek Terbaik (gangsa) pada Anugerah Video Malaysia 2002 melalui pengarahannya dalam The Encounter selain daripada beberapa anugarah lain yang dimenanginya melalui filem-filemnya Love at First Sight (2004), Seed of Darkness (2005).
Michael yang turut membintangi filem ini mula berlatih seni mempertahankan diri sejak berusia sembilan tahun lagi. Dia menyertai Persatuan Olahraya Chin Woo beberapa tahun yang lalu. Michael juga menjadi wakil negeri untuk KL Wushu. Taksubnya dalam seni mempertahankan diri ini membawa beliau sehingga mempunyai ahli lagak ngerinya sendiri untuk kerja-kerja komersial.

“Kita sebenarnya mempunyai pelakon lain untuk watak utama”, terang Michael sewaktu sidang media yang diadakan pada 10 Februari lalu.

“Tetapi sesuatu yang berlaku sehingga saya sendiri yang berlakon filem ini. Kita tak punya banyak waktu untuk mencari pelakon lain dan melatih mereka. Akhirnya watak Jie itu saya temu dalam diri saya sendiri.” ulas Michael bila ditanya mengenai menjadi pelakon dan pengarah sekaligus.

“Fist of Dragon” yang menelan belanja “jutaan SG Dollar “ adalah sebuah filem aksi komedi yang menceritakan tentang Pak Cik Chen, pemilik kedai kopi yang terpaksa menghadapi kesusahan kerana sering diganggu oleh ahli kongsi gelap tempatan. Anak buahnya, Jie cuba untuk membantu dan akhirnya menimbulkan lebih banyak masalah. Tindakan Jie telah membuatkan seluruh Bandar itu susah. Tambahan pula, Lily,merupakan anak Pak Cik Chen berpihak pada kongsi gelap tersebut dan hubungan mereka menjadi bertambah buruk sejak pertemuan antara ahli kongsi gelap dan penduduk Bandar tersebut.

“Fist of Dragon” untuk tayangan 18 tahun ke atas akan menemui penonton filem di seluruh pawagam Malaysia pada 23 Februari 2012. Manakala di China, akan diberitahu kemudian kerana filem ini telah diharamkan kerana keganasan dan tema kongsi gelap ini. Pihak penerbit kini sedang bekerja untuk mengubah sedikit perjalanan cerita untuk menembusi pasaran di China.

Michael berkata, “Banyak babak yang terpaksa kita potong untuk menembusi pasaran. Dalam tempoh suntingan sendiri,kita telah membuang hampir 6-8 babak.”

“Walaupun filem sulung arahan saya merupakan filem seram, tetapi sebenarnya saya lebih sukakan dengan filem aksi. Saya sentiasa mahu bekerja untuk filem aksi. Ketika saya masih muda saya suka menonton filem oleh Bruce Lee dan Jackie Chan, di mana watak hero yang sangat protagonis berdiri untuk memperjuangkan yang lemah. Saya merasakan bahawa sekarang kita semakin kurang filem seperti itu kerana Jet Li tidak terlalu aktif dan Jackie Chan pula sibuk di Hollywood untuk membuat lebih banyak filem polis dan perompak,” jelas Michael bila ditanya mengenai inspirasi dalam menghasilkan filem aksi komedi ini.

Tambah beliau, “Di Malaysia kini aktif dengan filem aksi komedi. Jadi setelah melabur wang yang banyak untuk menghasilkan filem ini kami yakin akan dapat sambutan 100% dari penonton.”

Filem yang mengangkat tema keadilan dan perpaduan ini padat dengan aksi yang menarik yang ditonjolkan oleh watak Jie. Kehadiran Pak Cik Chen yang dipegang oleh pelakon popular dari Singapura Henry Thia, sedikit sebanyak menggamatkan suasana di dalam panggung.

Henry Thia yang terkenal dengan lawak spontannya membawa dirinya sendiri di dalam diri Pak Cik Chen. Apa yang dapat dilihat pada Pak Cik Chen itulah dirinya yang sebenar.

“Saya terima skrip dalam bahasa Inggeris. Saya baca dan olah dalam bahasa saya sendiri dengan cara saya sendiri dan saya tanya Michael boleh ke saya lakukan begini. Michael sangat bagus, semuanya pun dia boleh.. Can arr can arr...Everything pon can,” ulas Henry yang sangat senang bekerja dengan Michael.

Pihak produksi berharap agar penonton dapat menerima filem ini dengan baik dan bergembira apabila menontonnya.




10 Februari 2012, Kuala Lumpur : “Fist of Dragon” adalah usahasama antara Beishen dan Desen International Media Co.Ltd (China) , EP Films Sdn Bhd (Malaysia) dan Fussion Media Pte Ltd(Singapore).Ann Tong, Penerbit Desen International Media Co.Ltd juga menerbitkan filem bajet besar seperti “IP Man 2” dan “14 Blades.” .

Filem ini dibintangi oleh Henry Thia (Singapura) , Fiona Xie (Singapura) , Michael Chuah (Malaysia) dan Wng Xiao Chen (China).
Filem ini diterbitkan oleh Ann An (Tong) dari China dan dari Evo Pictures Sdn Bhd. Ann An lah yang bertanggungjawab menerbitkan filem box-office 14 Blades dan Ip Man 2.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment