Sunday, April 8, 2012

JLN.PINTAS : Adakah ini revolusi


Sebelum idea untuk membikin sebuah filem bebas seperti ini, kami ingin menghasilkan sebuah filem yang berupaya bersaing dengan filem-filem yang berulang-ulang dihasilkan oleh produksi filem yang sama.
Dengan segala kekurangan yang ada, kami cuba sedaya-upaya untuk mendapatkan sedikit sumber pembiayaan. Namun, semua harapan gagal. Ada teman-teman yang sudah tahu tujuan asal aku memanggil, sudah tidak menjawab panggilan sungguhpun sms sudah dikirim terlebih dahulu.
Selepas berbincang dengan pengarah Nam Ron, beliau begitu optimis untuk meneruskan juga (sungguhpun tiada sumber yang dapat meyakinkan). Aku dibawa berjumpa dengan sekumpulan pelakon-pelakon dan dari itu, mereka semua bersetuju untuk menyertai projek ini dengan limitasi-limitasi yang ada.
Kami bersetuju untuk menetapkan misi bahawa filem yang bermesej seperti JALAN PINTAS ini perlu lebih mendekati khalayak ramai. Keuntungan daripada pengeluaran filem- filem tempatan banyak disalurkan kepada pengusaha-pengusaha pawagam.
Aku berfikir sejenak, “Pengeluar-pengeluar filem hanya mampu memerah idea dalam pembikinan dan hasil titik peluh tersebut, sungguhpun mendapat tarikan ramai akhirnya mendatangkan kerugian walaupun keuntungan kasar yang berbaloi.”
Aku tidak mahu perkara sebegitu berlaku kepada aku.
Aku tidak mahu filem aku nanti mendapat banyak pujian tetapi modal yang dikeluarkan tiada pulangan. Kami juga perlu bermandiri.
Aku sedia maklum lambakan filem yang ditayangkan di pawagam hanya bermotifkan keuntungan. Kualiti pembikinan tidak menjadi matlamat utama. Pada masa yang sama, aku tetap dan masih percaya keuntungan dan pengiktirafan akan datang dengan sendiri apabila kesungguhan diletakkan di dalam pengisiannya.
JALAN PINTAS merupakan filem pertama keluaran Rumah Anak Teater yang kini didaftarkan sebagai RAT Production. Ia diarahkan oleh Nam Ron dan jalan cerita oleh Ayam Fared. Ramai pelakon yang bersetuju untuk terlibat di dalam projek filem KoKEN ini termasuklah pelakon-pelakon filem seperti Bront Palarae, Zahiril Adzim, Mislina Mustaffa, Sharifah Amani, Sara Ali, Amerul Affendi. Pelakon-pelakon drama Beto Kusyairy, Xavier Fong, Azhan Rani, Ghadafi Meliki, Yaya Nadzri. Ia menampilkan bakat muda baru Auf Razak yang diberi tanggungjawab sebagai pelakon utama filem ini.
JLN.PINTAS sebuah naskah yang penuh dengan kritikan tentang sistem yang kita amalkan sekarang, kekecewaan anak muda dalam mencapai cita-cita dan penindasan hidup yang berakir dengan perlakuan jenayah.
Beban PTPTN
Aku bersimpati dengan nasib-nasib pelajar IPTA dan IPTS sekarang yang terpaksan dibebani hutang sebaik sahaja selesai pengajian mereka. Jaminan kerja masih tidak lagi diberikan oleh industri-industri yang mereka impikan sewaktu di zaman universiti lagi.
Sekiranya mereka gagal untuk membayar hutang PTPTN, mereka akan disenaraihitamkan dari pergi ke luar Negara. Tidak kira apa alasannya termasuklah tujuan ke luar Negara untuk mewakili Negara atas pencapaiannya tersendiri. Di dalam kes Mislina Mustaffa (salah seorang pelakon di dalam JLN.PINTAS, beliau terpilih untuk mewakili Malaysia untuk ke Festival Filem Cannes kerana kejayaan filem KARAOKE yang dilakonkan tetapi dihalang di imigresen Malaysia kerana tidak menjelaskan PTPTN. Dan usahanya di dalam KARAOKE bukanlah dibayar beribuan ringgit.
Tergelak pun ada, sedih pun ada….tetapi aku marah. Mengapa perkara begini berlaku. Adakah pegawai imigresen bodoh sampai ke tahap itu?

Para ibubapa sering mengongkong anak-anak mereka untuk menerima apa tawaran universiti kerana bagi mereka, yang penting ialah segulung ijazah bukannya apa yang kita pelajari nanti akan bermanfaat. Adakah itu sebenarnya kehendak industri sekarang? Bukankah ini akan menghasilkan tenaga-tenaga yang tidak professional; sekiranya belajar di bidang lain dan bekerja di bidang yang berbeza?

Pada usia seawal 20 tahun, apabila melangkah keluar dari menara gading, dan pada kebetulan menjadi harapan keluarga sebagai anak sulung yang dapat menyara adik-adiknya – ini sudah tentu menjadi tekanan. Sungguhpun sudha dibebani tanggungjawab, mereka masih lagi belum diberi hak untuk mengundi.

Justeru, bagi mencapai cita-cita golongan ini, mereka memilih untuk mengambil jalan pintas. Jalan yang mereka pilih itu tidak semestinya berlandaskan undang-undang. Ini semua untuk kemandirian diri dan keluarga mereka.

Kemiskinan membawa kepada tekanan hidup. Inilah yang menjurus kepada aktiviti jenayah.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment