Friday, April 13, 2012

TEATER EKSPERIMENTAL TEPUK AMAI-AMAI MEREALISASIKAN IMPIAN

Tepuk Amai-amai ialah lagu yang sering dimain-mainkan oleh ibu, penjaga mahupun diajar di peringkat pra-persekolahan yang sedang melalui alam pertumbuhan.
Mesej yang sama telah digunapakai oleh sebuah kumpulan teater baru dalam memperkenalkan kumpulannya dan produk terbaru mereka. Pementasan Teater Eksperimental Tepuk Amai-Amai merupakan hasil daripada usaha Revolution Stage (RS) yang telah mengadakan bengkel lakonan secara PERCUMA - FirstTimeWorkshop : Bengkel Asas Lakon yang mana telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Negara. Hanya 6 orang peserta sahaja yang telah terpilih untuk menjalani bengkel selama sebulan bermula 20 Februari 2012 lepas. RS mengambil inisiatif ini untuk membuka peluang kepada bakat-bakat baru yang berminat dalam seni teater. Melalui bengkel ini pihak RS berharap bakat-bakat baru yang berilmu dan berkualiti dapat dihasilkan. Ianya juga membuka peluang untuk mereka beraksi di pentas menemui khalayak sekaligus mempromosikan bakat yang dimiliki kepada penggiat industri. Peserta akan melakukan pementasan selama 4 hari di Auditorium Muzium Negara di akhir bengkel ini.

Teater Ekperimental ini dijadikan sebuah device play oleh Khairunazwan Rodzy bersama para peserta bengkel mereka melalui temanya, 'cita-cita dan impian' sebagai kes yang diperbincangkan serta isu yang diketengahkan.
Hasil yang diperolehi berkisarkan tentang kehidupan zaman persekolahan yang melibatkan watak-watak seperti Pelajar, Guru, Ibu Bapa dan Keluarga. Plotnya bergerak berlandaskan watak para pelajar yang berusaha keras untuk mencapai cita-cita dan impian masing-masing sehingga berjaya. Pelbagai konflik berlaku semasa proses usaha mereka, cabaran, halangan, tekanan serta dugaan telah sebati dalam diri mereka.
Pementasan teater ini dijadikan sebagai suatu karya yang penuh dengan rasa dan perasaan yang pernah dirasai oleh setiap yang sedang atau pernah bergelar sebagai seorang pelajar. Rasa dan perasaan itu telah diberi sentuhan satira yang padat oleh pengarah dan para pemainnya.
Teater ini menyentuh perihal kehidupan pelajar yang bermasalah dalam pelajaran serta bermasalah dalam kehidupan keluarga masing-masing. Disamping itu, sikap kebanyakan ibu bapa juga digarapkan bagi memberi kesedaran tentang hubungan anak, pelajaran, ibu bapa dan impian. Keadaan di sekolah yang dibangkitkan mengenai cerita guru-guru sebagai pendidik yang sangat menginginkan pelajar-pelajar mereka yang cemerlang dan berjaya mencapai cita-cita pelajar dan impian sekolah. Kesemua isu tersebut telah diberi sentuhan satira yang bakal memberi kesan menarik dan humor dalam pementasan ini.
Para peserta terdiri daripada mereka yang berada di kalangan umur 18-30 tahun dan mampu memberi komitmen selama sebulan. Bengkel tersebut bermula pada 13 Februari 2012 di Bangunan Warisan Negara, Kampung Baru. Bengkel ini akan dijalankan oleh teraju RS iaitu Khairunazwan Rodzy yang berpengalaman. Beliau merupakan Pengarah teater Badai Semalam dan pernah melatih peserta rancangan realiti Pilih Kasih I dan II.

Pementasan ini dijayakan oleh Asyraf Afif, Aznah Mohamed, Dila Abd. Ghani, Azlin Nur Mohd, Adinda Atie, Nur Ismah Atirah.
Tepuk Amai-amai akan berlangsung di Auditorium Muzium Negara Kuala Lumpur pada 12 hingga 15 April 2012, 8.30 malam. Pada 14 dan 15 April terdapat dua persembahan; 3.00 petang dan 8.30 malam.
Tiket dijual pada harga RM 20 (Dewasa) dan RM 10 (Pelajar, OKU).
Penerbitan ini mendapat kerjasama dengan Revolution Stage dan Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Negara. Sebarang pertanyaan mengenai pementasan ini boleh menghubungi Roselawaty (012-3843010).
REVOLUTION STAGE merupakan syarikat yang ditubuhkan pada 2006 pada mulanya oleh Khairunazwan Rodzy, namun kini ianya didaftarkan semula bersama graduan - graduan seni persembahan gabungan dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT). Revolution Stage dijadikan platform dan medan anak - anak muda ini melahirkan karya- karya bermutu bukan sahaja untuk kelompok penikmat seni malah kepada khalayak umum.

Secara tidak langsung, graduan-graduan yang menerajui Revolution Stage telah melibatkan diri ke peringkat yang lebih profesional. Selain itu, Revolution Stage juga turut bersama memeriahkan lagi industri seni tanah air dalam bidang teater. Dengan pengalaman selama menuntut di IPT masing-masing dan pengalaman yang dikutip daripada produksi-produksi luar, pengurusan syarikat ini mampu diuruskan dengan lebih sistematik dan terkawal.

Penggerak Revolution Stage terdiri daripada anak-anak muda yang mempunyai fokus serta matlamat untuk membawa pemikiran baru yang lebih efektif dan dinamik kepada khalayak umum melalui corak persembahannya. Khalayak dapat menikmati hasil sentuhan kreatif yang mempunyai dimensi baru. Bersesuaian dengan nama ‘revolution’ yang membawa maksud perubahan, membuktikan peneraju syarikat Revolution Stage membawa perubahan daripada takok lama ke era baru yang lebih mencabar.

Revolution Stage juga mendapat kerjasama dengan penggiat seni yang tidak asing lagi dalam bidang persembahan teater iaitu Sahili Abdan atau lebih dikenali dengan Nam Ron. Beliau selaku penasihat serta pengkritik bagi syarikat Revolution Stage banyak membantu daripada segi kualiti dan mutu hasil kerja kreatif Revolution Stage. Dengan kerjasama tersebut, adalah diharapkan syarikat ini akan lebih berkembang pesat seiring dengan kesenian dan warisan negara.

Antara program yang pernah dianjurkan oleh Revolution Stage, Teater WAKTU Eksperimental Merdeka di MTC (2006), Teater Naturalisasi di Black Box Aswara (2007), Teater TyIcKooUnS di Auditorium DBP (2011), Teater SeNaPas di Stor DBP (2011), Tayangan Filem Pendek : ‘PangKal’ (Panggung Akal) di Stor DBP (2011), FirstTimeWorkshop : ‘Bengkel Asas Lakon’ di Bangunan Warisan (2012) dan banyak lagi.

2 comments:

Alisha Residenc said...

anda boleh sila pertukaran pautan, sila? Saya akan melakukan perkara yang sama,
laman saya http://alisharesidence.blogspot.com/
berharap anda jangan keberatan

Unknown said...

hi, u r student from dipl in theater isnt it?

Post a Comment